Soal Jawab Apa itu GST?

Sebahagian artikel soal jawap berhubung GST dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)

Soalan 1 : Apa itu GST?
Jawapan : Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan cukai kepenggunaan berasaskan kepada konsep nilai tambahan. Tidak seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pembayaran cukai GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan, termasuk barangan dan perkhidmatan yang diimport.




Soalan 2 : Adakah GST merupakan cukai baharu.
Jawapan: Tidak. GST merupakan cukai bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedia ada.


Soalan 3 : Mengapa kerajaan mahu melaksanakan GST? Kenapa baru sekarang?
Jawapan: Banyak negara telah melaksanakan GST kerana mereka tidak berpuas hati dengan struktur cukai kepenggunaan yang diguna pakai. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti

i) Cukai kepenggunaan sedia ada tidak memuaskan.
ii) Mencari pengurangan dalam kadar cukai yang lain.
iii) Sistem cukai sedia ada tidak selaras dengan pembangunan ekonomi negara tersebut.

Dalam kes Malaysia, pengenalan kepada GST adalah sebahagian daripada program pembaharuan cukai secara menyeluruh dalam menjadikan sistem percukaian lebih berkesan, telus, memudahkan urusan perniagaan serta mampu menjana perolehan yang lebih stabil.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, GST boleh mengatasi pelbagai kelemahan yang wujud di bawah SST seperti:
i) Kadar pengaliran cukai dan pengkompaunan cukai.
ii) Isu pemindahan harga dan penukaran nilai
iii) Tiada pelepasan cukai penuh bagi cukai ke atas barangan eksport.
iv) Tidak menggalakkan sistem intergrasi secara menegak
v) Karenah birokrasi


Soalan 4 : Adakah semua barangan dan perkhidmatan tertakluk kepada GST?
Jawapan: Tidak semua barangan dan perkhidmatan tertakluk kepada GST. Beberapa jenis makanan asas seperti beras, ikan, ayam, daging, sayuran, gula, tepung dan minyak masak dikecualikan daripada GST. Jualan dan sewa bagi bangunan, kediaman dan hartanah serta perkhidmatan seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam turut dikecualikan daripada GST.

Soalan 5 : Adakah sektor perniagaan akan mendapat kelebihan daripada GST?
Jawapan: Kajian mendapati bahawa pengurangan dalam kos perniagaan iaitu GST yang
dikenakan terhadap kos input, boleh dituntut semula. Kadar eksport juga tidak dikenakan cukai, cukai input dan output dan tidak berkaitan dan kewujudan skim khas juga tidak menjejaskan aliran tunai.


Soalan 6 : Adakah semua perniagaan perlu didaftarkan di bawah GST?
Jawapan: Hanya perniagaan yang memperoleh jualan tahunan melebihi RM500,000 diwajibkan mendaftar tetapi bagi perniagaan lain boleh mendaftar secara sukarela.


Soalan 7 : Adakah peniaga boleh mendaftar secara online?
Jawapan: Ya, pendaftaran secara online digalakkan.

Soalan 8 : Apakah kaedah untuk mendaftar GST?
Jawapan: Secara online atau manual.

Soalan 9 : Di mana dan bila peniaga perlu memohon untuk mendaftar GST?
Jawapan: Permohonan boleh dibuat menerusi www.gst.custom.gov.my dan kios pendaftaran di mana-mana pejabat kastam atau menerusi penghantaran permohonan menerusi pos.

Soalan 10 : Bagaimana kerajaan mengatasi masalah tuntutan cukai input palsu?
Jawapan: Masalah tersebut diatasi menerusi sistem pengurusan risiko yang komprehensif, nisbah prestasi cukai untuk mengenal pasti perniagaan yang menyeleweng, teknik audit berkomputer dan peralatan forensik, kawalan meja, pematuhan dan pembayaran balik untuk mengesan tuntutan palsu, maklumat daripada orang awam dan perniagaan serta pertukaran maklumat antara agensi kerajaan.

Soalan 11 : Apakah bentuk bantuan yang diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila GST hendak dilaksanakan?
Jawapan: Kerajaan akan membantu PKS untuk mengurangkan kos yang berkaitan apabila GST mula dilaksanakan, kerajaan akan menyediakan latihan dan pendidikan percuma serta membantu PKS menyediakan perisian asas.

Soalan 12 : Bagaimana kerajaan memastikan peniaga membayar cukai yang dikenakan?
Jawapan: Syarikat yang berdaftar dikehendaki untuk menghantar laporan pendapatan mereka secara berkala dan membayar cukai kepada kerajaan. Pasukan audit GST akan melakukan audit kepada syarikat terbabit secara berkala atau apabila ada keperluan untuk berbuat demikian, Selain itu sistem pengurusan risiko akan menghantar laporan mengenai syarikat yang berisiko tinggi, tuntutan cukai import atau pembayaran yang mencurigakan.

Soalan 13 : Pembayar cukai yang ramai menyumbang pendapatan lumayan kepada negara namun jika terdapat elemen penipuan dalam pembayaran cukai atau tuntutan palsu cukai input akan menyebabkan impak besar kepada negara bagaimana kerajaan mengatasi masalah syarikat yang mengelak untuk membayar cukai?
Jawapan: Beberapa pendekatan yang diambil ialah menerusi sistem pengurusan risiko yang komprehensif, penggunaan nisbah prestasi cuma untuk mengenalpasti perniagaan yang berniat untuk mengelak pembayaran GST. Mempunyai senarai pengeksport utama untuk menyelesaikan tuntutan cukai input berkaitan eksport palsu, penggunaan teknik audit berkomputer dan peralatan forensik, mengadakan audit bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN serta mewujudkan unit pembayar cukai.

Soalan 14 : Adakah GST memberi kesan kepada perniagaan kecil seperti pasar malam yang menjual pakaian dan makanan? Adakah mereka boleh mengenakan atau membayar GST?
Jawapan: Pelaksanaan GST hanya akan memberi kesan kepada perniagaan kecil seperti pengendali pasar malam yang memperolehi pendapatan tahunan seperti yang ditetapkan untuk mendaftar di bawah GST.






1 comment:

Kira Hasan said...

Hai, boleh saya tahu apa sumbangan GST kepada antarabangsa? Boleh tolong jelaskan? Terima Kasih :)